Wednesday, February 8, 2012

Pelakon Cina Di Hollywood




















Bukanlah sesuatu yang pelik untuk mengatakan bahawa Hollywood telah berjaya menguasai dunia perfileman di pasaran seluruh dunia, Namun beberapa dekad lalu, kita telah melihat pelakon-pelakon dari Hong Kong dan China makin banyak mencipta nama di persada antarabangsa.

Kami senaraikan beberapa nama yang sudah dikenali di dunia Hollywood.

Jackie Chan
Namanya bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia perfileman di Hollywood. Berkecimpung dalam bidang seni selama empat dekad sebagai pelakon, koreografer aksi, pelakon lagak ngeri, pengarah, penerbit, penulis skrip dan juga penyanyi, filem-filem lakonan Chan pasti akan menempa kejayaan sepanjang kariernya. Chan mula mendapat perhatian penonton di Asia dengan aksi akrobatik ketika berlawan, cekap menggunakan senjata dan melakukan aksi lagak ngeri dalam filem seperti "Project A", filem siri "Police Story", "Who Am I" dan banyak lagi sebelum itu. Pada tahun 1994, Chan mula menempa nama dalam dunia Hollywood apabila filem komedi aksinya, "Rumble In The Bronx" mendapat kutipan AS$32 juta (RM96.6 juta). Selepas itu, popularitinya meningkat dengan lakonan komedinya menerusi karakter Lee bersama Chris Tucker dalam filem siri "Rush Hour" yang berjaya mendapat jumlah kutipan keseluruhan sebanyak AS$850 juta (RM2.5 bilion) di seluruh dunia.

Bruce Lee
Peminat dari seluruh dunia terutamanya dari Hong Kong telah dikejutkan dengan kematian Bruce Lee yang meninggal dunia pada umur masih muda iaitu 32 tahun pada tahun 70-an. Bagaimanapun pengaruhnya dalam filem pertahanan diri masih lagi memberi impak besar sekaligus membuka minda dan mata penggemar filem. Ketika berusia 18 tahun, Bruce Lee atau Lei Siu Long telah ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran dan mengembangkan kemahirannya dalam seni pertahanan diri. Kemudiannya dia telah menerima tawaran berlakon sebagai Kato dalam siri televisyen "The Green Hornet" di samping Van Williams, diikuti dengan penampilan dalam "Ironside" (1967), "Here Comes The Bride" (1969) dan "Blondie" (1969). Akhirnya populariti Lee semakin melonjak dalam bidang perfileman Hollywood menerusi lakonannya dalam "The Big Boss", "Fist Of Fury", "Way Of The Dragon" dan berjaya menarik perhatian penonton barat dengan filem terakhirnya, "Enter The Dragon" dimana Warner Bros. dan Golden Harvest telah mendapat kutipan sebanyak AS$115 juta (RM347 juta) di seluruh dunia.

Jet Li
Dia pernah mengakui bahawa dia merupakan peminat nombor satu Bruce Lee. Mahir dalam Wushu Cina dan mempunyai bakat dalam bidang lakonan, Jet Li merupakan seorang pelakon aksi popular pada era 90-an dan dia merupakan pelakon pertama dari China yang berjaya menembusi pasaran filem Hong Kong. Pada tahun 1997, dia telah menerima tawaran untuk mengembangkan kariernya di Hollywood dan dia memegang watak jahat dalam filem arahan Richard Donner, "Lethal Weapon 4" bersama pemenang Anugerah Academy, Mel Gibson dan pelakon veteran Danny Glover. Pelakon gandingannya dalam filem tersebut kekuatannya dalam seni pertahanan diri dan pada masa yang sama, penonton Amerika kagum dengan keupayaannya dalam mentransformasi pergerakannya kepada lakonan ketika filem tersebut ditayangkan pada 10 Julai 1988. Beliau kemudiannya muncul lagi di layar perak dengan filem "Romeo Must Die", "The One", "Kiss Of The Dragon", "Cradle 2: The Grave" dan "Unleashed" bersama lagenda Hollywood, Morgan Freeman. Kejayaan terbarunya di Hollywood adalah ketika dia memegang watak Yin Yang pada tahun 2010 menerusi "The Expendables", sebuah filem aksi yang turut dibintangi pelakon "Rambo", Sylvester Stallone.

Chow Yun Fat
Pemenang Anugerah Filem Hong Kong ini memulakan kariernya dengan televisyen Hong Kong pada tahun 1970-an. Dia mula dikenali di sana menerusi watak Hoi Man Keon dalam "The Bund" yang mengisahkan kehidupan kongsi gelap pada 30-an di Shanghai. Kemudiannya dia bekerjasama dengan pengarah John Woo dan Tsui Hark pada tahun 1986 dalam sebuah filem aksi "A Better Tomorrow" yang telah mengubah kariernya dalam dunia filem. Beliau memulakan kariernya di Hollywood menerusi filem arahan Antoine Fuqua, "The Replacement Killers" pada 1998. Selepas filem kolaborasinya bersama aktres Jodie Foster, "Anna And The King" menemui kegagalan, Chow kembali menambat hati penonton menerusi filem "Crouching Tiger, Hidden Dragon" yang merupakan filem Cina pertama memenangi anugerah Oscar pada tahun 2001. Kemudiannya penerbit terkenal, Jerry Bruckheimer telah memberi Chow watak sebagai Sao Feng dalam filem "Pirates Of The Caribbean: At World's End" bersama Johnny Depp.

Gong Li
Pada usia 21 tahun, Gong Li sudah mula menonjol menerusi kolaborasinya bersama Zhang Yi Mou dalam "Red Sorghum" pada tahun 1987, sebuah filem yang memenangi Anugerah Golden Bear di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 1988. Beliau kemudianya sekali lagi menunjukkan bakatnya dalam "Raise The Red Lantern" yang telah membuatnya tercalon dalam Oscar dan mendapat perhatian pelbagai pihak dari luar negara. Selepas mula dikenali, Gong mencuba nasib dalam filem Inggeris pertamanya "Memoirs Of A Geisha" sebagai seorang geisha yang cantik dan kejam, Hatsumomo. Filem tersebut telah berjaya mendapat kutipan sebanyak AS$162 juta (RM489 juta) dan menggondol tiga anugerah Oscar untuk Sinematografi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.
Selepas mencipta nama di Hollywood, Gong kemudiannya mula membintangi "Miami Vice", "Hannibal Rising" dan sebuah filem perang-thriller "Shanghai". 

Zhang Ziyi 
Zhang Ziyi merupakan pelakon wanita Cina kedua yang berjaya mendapat perhatian peringkat antarabangsa selepas Gong Li. Dia memegang watak Jiao Long dalam filem "Crouching Tiger, Hidden Dragon" di samping Chow Yun Fat dan Michelle Yeoh. Zhang pernah memenangi Anugerah Pelakon Harapan di Chicago Film Critics Association Awards pada tahun 2000. Dia membuat penampilan pertama dalam filem Hollywood yang dilakonkan oleh Jackie Chan, "Rush Hour" sebagai pembunuh. Pada tahun 2006, Zhang telah tercalon dalam Anugerah Golden Globe, Anugerah Screen Actors Guild dan Anugerah BAFTA untuk wataknya dalam "Memoirs Of A Geisha".

No comments: