Wednesday, February 8, 2012

Kenali calon Filem Terbaik Oscar 2012






















Senarai pencalonan Anugerah Academy 2012 telah dikeluarkan. Menariknya 60% daripada filem-filem yang dicalonkan adalah filem adaptasi novel. Pencalonan Filem Terbaik juga menyaksikan pencalonan dua buah filem Brad Pitt ("Moneyball" dan "The Tree of Life") dan juga Jessica Chastain ("The Tree of Life" dan "The Help"). Filem Terbaik Golden Globe juga turut dicalonkan, seperti filem tanpa suara "The Artist" dan "The Descendant" yang akan menemui penonton di Malaysia Februari ini.

"The Artist"
Filem ini merupakan filem komedi-drama Perancis yang diarahkan oleh Michel Hazanavicius dan dilakonkan oleh Jean Dujardin dan Bérénice Bejo. Kisah ini menggunakan latar Hollywood antara 1927 dan 1932 – memfokus kepada seorang bintang filem bernama George Valentin yang semakin jatuh dan seorang aktres muda bernama Peppy Miller yang semakin naik di waktu filem senyap semakin jatuh dan "talkies" (filem suara) mengambil alih industri.

"The Artist" menggunakan teknik filem senyap (tanpa suara) dan difilemkan dalam hitam putih. Dujardin telah memenangi anugerah Pelakon Terbaik 2011 di Festoval Filem Cannes di mana filem itu mengadakan tayangan perdananya. Ia juga memenangi Filem Musikal atau Komedi Terbaik, Penata Muzik Terbaik dan (sekali lagi) Pelakon Terbaik buat Dujardin di Anugerah Golden Globe. Ia juga dicalonkan untuk 12 kategori Anugerah BAFTA dan 10 Anugerah Oscar. Di Perancis pula, filem ini dicalonkan untuk 10 Anugerah César Awards.

"The Descendants"
"The Descendants" adalah sebuah filem komedi drama arahan Alexander Payne ("About Schmidt", "Sideways") dan diadaptasi dari novel oleh Kaui Hart Hemmings. Filem yang dibintangi George Clooney, Shailene Woodley, Judy Greer, Matthew Lillard dan Beau Bridges ini pernah memenangi dua anugerah Golden Globe melalui kategori Filem Drama Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonan Clooney. Ia juga memenangi anugerah "Movie of the Year" dari American Film Institute.
"The Descendant" berkisarkan seorang lelaki yang harus belajar memahami dua orang anaknya selepas isterinya koma akibat kemalangan bot. Memburukkan lagi keadaan, dia mendapat tahu daripada anak-anaknya bahawa isterinya curang padanya selama ini. Filem ini akan ditayangkan di Malaysia mulai 16 Februari.

"Extremely Loud & Incredibly Close"
Sekalipun para pengkritik agak tidak sefahaman dalam menentukan kualiti filem ini, "Extremely Loud & Incredibly Close" telah berjaya tersenarai dalam pencalonan Oscar tahun ini. Ia merupakan filem adaptasi novel tulisan Jonathan Safran Foer dan diarahkan oleh Stephen Daldry ("The Reader") dan dibintangi Tom Hanks, Sandra Bullock, Thomas Horn, Max von Sydow, Viola Davis, John Goodman, Jeffrey Wright dan Zoe Caldwell. Filem ini menerima pencalonan sebagai Filem Terbaik dan juga Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik buat pelakon veteran Max von Sydow. Filem ini adalah kisah seorang pencipta amatur, frankofil dan pasifis berusia sembilan tahun yang menjelajah seluruh New York untuk mencari lubang kunci yang boleh dipadankan dengan sebatang kunci misteri yang ditinggalkan bapanya selepas kematiannya di dalam tragedi 9/11.

"The Help"
Sebuah filem drama-komedi yang berkisarkan perkauman di Amerika Selatan pada tahun 60-an, "The Help" juga merupakan filem adaptasi tulisan novelis Kathryn Stockett. Filem ini menyatukan beberapa kisah di era Hak Awam awal 60-an – seorang wanita Selatan, Eugenia "Skeeter" Phelan yang ingin menulis tentang kisah suka-duka pembantu kulit hitam di Selatan, Aibileen dan dan Minny – dua pembantu kulit hitam yang menghadapi konflik dengan majikan mereka, si naif Celia yang tidak diterima oleh masyarakat Selatan yang santun dan Hilly Holbrook yang terlalu keras membenci bangsa kulit hitam. Sebelum ini, Octavia Spencer telah pun memenangi anugerah Golden Globe sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui wataknya sebagai Minny.
"Hugo" Tidak asing dalam pencalonan dan kemenangan anugerah Oscar, pengarah Martin Scorsese kembali dengan sebuah lagi filem yang cukup hebat untuk dicalonkan sebagai Filem Terbaik Oscar 2012 melalui sebuah filem penjelajahan magis 3D pertamanya. Ia juga sebuah lagi adaptasi berdasarkan buku paling laris New York Times karya Bryan Selznick, "The Invention of Hugo Cabret". Ia berkisarkan seorang anak yatim di tahun 30-an Paris yang tinggal di sebuah stesen kereta api cuba mengungkai misteri yang mengaitkan mendiang bapanya dengan sebuah automaton.

"Midnight in Paris"
Filem dibintangi Owen Wilson, Rachel McAdams, Marion Cotillard, Kathy Bates, Carla Bruni, Adrien Brody dan Michael Sheen ini mengadakan tayangan perdananya di Festival Filem Cannes 2011 dan ditayangkan di AS pada bulan Mei 2011. Ia dikatakan sebagai filem terbaik Woody Allen sejak "Bullets Over Broadway" (1994). Ia turut memenangi Senario Terbaik dalam Anugerah Golden Globe dan menerima tiga lagi pencalonan Oscar selain Filem Terbaik. "Midnight in Paris" merupakan filem komedi romantik tentang sebuah keluarga yang menjelajah ke Paris atas tujuan perniagaan. Ahli keluarga tersebut termasuk satu pasangan yang sudah bertunang (lakonan Wilson dan McAdams) mendapati hidup dalam dunia berbeza lebih baik bagi mereka.

"Moneyball"
"Moneyball" merupakan sebuah filem drama biografi berdasarkan sukan yang diarahkan Bennett Miller daripada buku Michael Lewis mengenai pasukan besbol Oakland Athletics di musim 2002. Pengurus besarnya Billy Beane (Brad Pitt) cuma menghimpunkan satu pasukan yang hebat sekalipun dia dan pembantunya Peter Brand (Jonah Hill) harus berdepan dengan situasi kewangan yang tidak stabil. Oleh sebab yang demikian, mereka menggunakan pendekatan berbeza untuk mencari dan menganalisa pemain, lalu mendapatkan khidmat pitcher Chad Bradford (Casey Bond), Scott Hatteberg (Chris Pratt) sekaligus memenangi 20 buah permainan – satu rekod bagi Liga Amerika.

"The Tree of Life"
"The Tree of Life" merupakan sebuah drama impresionistis yang ditulis dan diarahkan Terrence Malick ("The Thin Red Line") dan dibintangi Sean Penn, Brad Pitt dan Jessica Chastain. Filem ini membicarakan erti hidup dan asal-usul kehidupan melalui kenangan zaman kanak-kanak seorang lelaki pertengahan umur ketika dia dan keluarganya tinggal di Texas pada tahun 50-an. Ia telah memenangi Anugerah Palme d'Or di Festival Filem Cannes 2011 dan Malick dipuji atas penggunaan imejan teknikal dan artistik, gaya pengarahan dan naratif non-linear yang dipraktikkannya. Ia berkisar tentang Jack, seorang anak sulung cuba mengubah hubungannya yang rumit dengan bapanya (Brad Pitt).

"War Horse"
"War Horse" merupakan filem epik perang arahan Steven Spielberg berdasarkan novel kanak-kanak yang diterbitkan pada tahun 1982 karya penulis British, Michael Morpurgo yang disetkan pada era sebelum dan ketika Perang Dunia pertama. Filem ini menampilkan para pelakon seperti David Thewlis, Benedict Cumberbatch, Jeremy Irvine, Emily Watson, Tom Hiddleston, Eddie Marsan, Toby Kebbell dan Peter Mullan. Ia juga menerima lima pencalonan BAFTA selain enam nominasi Oscar.
"War Horse" berkisarkan Albert yang mahu berkhidmat di dalam Perang Dunia pertama selepas kuda kesayangannya, Joey, dijual kepada pihak tentera berkuda. Perjalanan Albert membawanya ke luar England dan menyeberangi Eropah di kala perang sedang berlaku.

No comments: